Sabtu, 4 Januari 2020

AYAM GORENG KUNYIT


Assalamualaikum wbt semua. Kembali bersiaran 😃😃 
Hari ni kita share resepi AYAM GORENG KUNYIT . Menu paling simple, budak-budak pun suka makan. Jom kta tengok bahan-bahannya.


BAHAN - BAHAN :

  • 2 keping dada ayam dipotong dadu dan lumur dengan garam kunyit
  • 1 labu bawang holang dipotong bulan
  • 3 ulas bawang putih dicincang halus
  • Kacang panjang dipatah - patah kecil
  • 2 biji lada merah dihiris serong ( kalau suka pedas boleh je guna lada cili )
  • 1 sudu besar sos tiram


CARA - CARA :

  • Dada ayam yang telah dipotong dadu, dilumur dengan sedikit serbuk kunyit dan garam dan goreng.
  • Bila dah siap goreng angkat dan ketepikan.
  • Tinggalkan sedikit minyak didalam kuali bekas goreng ayam tadi.
  • Masukkan bawang putih yang dicincang, bawang holland dan lada hiris.
  • Tumis hingga kekuningan, masukkan pula kacang panjang.
  • Masukkan 1 sudu besar sos tiram, gaul rata.
  • Masukkan pula ayam yang telah digoreng tadi. Gaul rata dan siap untuk dihidang.


👯 SELAMAT MENCUBA 👯💋💋




Selasa, 10 Disember 2019

UBI GORENG BEREMPAH


Assalamualaikum pengunjung semua..
Lama rasanya tak bersiaran..hehe . Dalam cuaca sejuk camni perut dok berbunyi je minta diisi. Asyik fikir makan je, ada je lintasan yang lalu dalam kepala.

Tadi belek-belek folder dalam phone,ternampak pulak gambo ubi goreng ni. Meleleh air liur tengok 😋😋😋 Ni guna resepi paling senang. Tumbuk-tumbuk, campak goreng je. Meh Jom kita tengok resepi UBI GORENG BEREMPAH ni.

Bahan-bahan :

  • Ubi dikupas kulitnya dan dipotong kecil-kecil. Cuci bersih dan toskan sehingga kering air.
  • 5 ulas bawang putih *
  • 2 ulas bawang merah kecil *
  • Sedikit garam
  • Sedikit serbuk perasa (optional)
  • Minyak untuk menggoreng

Cara-cara :

  1. Tumbuk bawang putih dan bawang merah, tumbuk kasar je, tak payah halus sangat.
  2. Gaul dengan ubi yang telah dicuci bersih tadi.
  3. Masukkan sedikit garam dan serbuk perasa jika suka, tak suka tak payah letak. Hehe
  4. Gaul sehingga sebati, biarkan seketika dlm 15 minit agar rasa rempah meresap dalam ubi. Kalau dah tak sabar tu boleh je terus goreng. Pon sedap jugak rasa dia.
  5. Panaskan minyak, bila minyak dah betul-betul panas, masukkan ubi tersebut.
  6. Guna api sederhana besar, dikhuatiri rentung pulak ubi tersebut kalau guna api besar 😆😆 
  7. Agak-agak ubi dah kekuningan seperti dalam gambar, boleh la diangkat dan sedia untuk dihidang bersama kopi O panas... perghhhhhhh 

** Boleh juga kalau nak tambah ketumbar dan jintan.Tumbuk bersama bawang tadi, lagi sedap rasanya. 


SELAMAT MENCUBA 😉😉


Ahad, 27 Januari 2019

DAGING SALAI MASAK LEMAK CILI PADI BERSAMA BELIMBING BULUH


Assalamualaikum semua pembaca yang budiman. Perghhhh lama betul rasanya blog ni ditinggalkan. Hahaha 😆😆

Meh la kita kongsi resepi Daging Salai Masak Lemak Cili Padi bersama Belimbing Buluh ni. Tengok gambar ni pon dah terkecur rasa. 😄😄

Bahan-bahan :

  • 1/2 kg daging salai 
  • Belimbing buluh
  •  5 ulas bawang merah *
  • 2 ulas bawang putih *

  • seinci kunyit *
  • segenggam cili padi (nak pedas tambah lagi)*
  • 1 kotak santan
  • 2 helai daun kunyit
  • 2 keping asam keping
  • Garam
Cara-cara :

  1.  Daging dihiris nipis dan cuci bersih utk membuang habuk dan kesan salai kemudian rebus sehingga daging empuk.
  2. Tumbuk bahan-bahan yang bertanda * . Masukkan bahan tumbuk bersama daging yang direbus supaya bahan tumbuk mesra dengan daging. Biarkan mendidih.
  3. Kemudian masukkan santan dan kacau rata. Kemudian masukkan asam keping, daun kunyit dan belimbing buluh. 
  4. Akhir sekali masukkan garam dan serbuk perasa jika suka.
  5. Biarkan kuah sedikit pekat. Baru umphhhh . Hihii
Sedia untuk dihidang bersama nasi panas.

** Kalau ikut resepi orang Nogori, diaorang tak letak bawang semua tu, cuma tumbuk cili padi dan kunyit je. Kita ikut rasa sendiri je. hehe

Selamat Mencuba.. Cuba jangan tak cuba !!
Sekali rasa siap bertambah-tambah nasi 😄😄

Selasa, 15 Ogos 2017

CUCUR VIRAL / CUCUR BILIS GEBU GEBAS COMEY LOTE


Assalamualaikum wbt pembaca sekalian..
Hari kita nak cerita tentang cucur viral yang sibuk orang dok cakap sana sini..kiki
Semua benda nak diviralkan ek.. Rasanya cucur yang gebu gebas ni dah wujud zaman tok nenek moyang kita lagi kan. Kalau maktok kita hidup lagi mesti dia gelak .. Yelaa maktok, kita cucu-cucu ni baru nak hidup. Ada je yang baru nak kenal apa tu cucur, orang Johor panggil jemput-jemput, sebab bentuk dia sejemput je kan.
Yang viral tu cucur manis, yang ni kita buat cucur bilis. Sedap jugak. Jom kita tengok resepinya.

Bahan-bahan :

2 cawan tepung gandum
1/2 buku bawang merah (cincang dadu)
Sedikit ikan bilis (cuci bersih)
Sedikit daun sup (hiris halus)
Garam
Air panas menggelegak (yang dipanaskan sampai menggelegak,kalau guna air panas biasa kurang menjadi nanti)

Cara-cara:

  • Panaskan air dalam periuk, letak sedikit garam. Biar hingga menggelegak.
  • Masukkan tepung, ikan bilis, bawang yang dicincang, daun sup ke dalam bekas. Gaul biar sebati. Buat lubang ditengah-tengah.
  • Curah sedikit demi sedikit air panas yang menggelegak tadi. Kacau menggunakan sudu. jangan sesekali guna tangan, ada kang melecur jari-jari manis tu.
  • Gaul sebati,biarkan sedikit suam dan bolehlah dibulat-bulatkan. Kalau nak comel-comel bulatkan kecil sedikit, kalau nak cepat habis bulatkan besar sikit. Haha.. Kita buat dia kan.
  • Panaskan kuali dengan minyak, bila minyak dah panas bolehlah mula menggoreng cucur tadi. Agak kekuningan angkat dan tos.
  • Sedia untuk dimakan dengan sos kegemaran anda.



Tadaa... sedap oii makan masa hujan-hujan ni. Hihii

SELAMAT MENCUBA :)

Selasa, 2 Mei 2017

SAMBAL TUMIS IKAN BILIS BERSAMA ASAM TERUNG


Assalamualaikum.. Kembali bersiaran. Haha.. Lama betul tak menjengeh blog sendiri. Blog orang kemain hari-hari baca.. Yelaa banyak cerita menarik kan.

Korang pernah makan terung asam? Kalau orang kampung biasa la makan, tapi tak boleh nak cakap juga, ada je orang kampung yang tak pernah makan asam terung ni tau. Nak-nak budak-budak muda sekarang. Kalau fast food tu laju la. Tak baik untuk kesihatan la..

Meh nak tunjuk sikit macammana rupa pokok asam terung ni. ni pun ambil gambar dari en Google. Pokok yang kat rumah ni dah mati la pula kena tempias racun dek abah.. Haha




Tu la rupa pokok asam terung. Pokoknya berduri sampai la kedaunnya pun berduri. Buahnya pula berbulu. Basuh bersih-bersih buang bulu dan kulitnya baru boleh dimasak atau dibuat sambal. Perghhhh... Sedap woiii.. Hahaha


Gambar ni pun cilok dari en Google.. Ni rupa setelah dicuci bersih dan dibelah dua.


Gambar ni diambil dari blog http://pusatbawangdayakq.blogspot.my .

Kali ni kita buat menu Sambal tumis Ikan Bilis bersama Asam terung. Jom kita tengok resepinya. Senang je nak buat sambal tumis ni. 

Bahan-bahan :

- 2 genggam ikan bilis, cuci bersih dan goreng hingga garing, toskan
- 10 biji asam terung yang telah dicuci bersih, dikupas dan dibelah dua.
- 1/2 cawan air asam jawa
- Gula dan garam secukup rasa
- Sedikit serbuk perasa (optional)
- 2 senduk cili kisar
- 8 biji bawang merah*
- 3 ulas bawang putih*
- 2 inci belacan*(*kisar halus)

Cara-cara :


  • Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar halus hingga naik bau, tambah cili kisar dan tumis hingga terbit minyak. Masukkan air asam jawa, perasakan dengan garam sedikit, gula secukupnya dan serbuk perasa (jika suka). Kacau rata dan masak hingga sambal pekat.
  • Masukkan asam terung, biarkan sehingga agak lembut kemudian masukkan ikan bilis yang dah digoreng tadi. Rasa dan jika ok boleh tutup api. 
  • Sedia untuk dihidang. Makan dengan nasi panas pergghhhh


  • SELAMAT MENCUBA :)

    Isnin, 3 April 2017

    THANK YOU MY GREAT CUSTOMERS


    Assalamualaikum dan selamat sejahtera..
    Terima Kasih yang tak terhingga pada pelanggan yang selalu & sudi beli aneka sambal dari Naily's Kitchen.. Hanya Allah yang mampu balas budi baik kalian. Meh nak jamu mata korang dengan gambar-gambar yang sedia ada.. Pada pelanggan baru jangan malu jangan segan, kalau nak beli meh laju-laju hubungi kita di no 012-7688616 


    :: SAMBAL IKAN BILIS CILI PADI a.k.a SAMBAL AIR MATA INSPIRED FROM SURAYA SULATIN ::




    :: SAMBAL HITAM PAHANG @ SAMBAL BELIMBING ::


    :: SAMBAL IKAN BAKAR ::

    :: TALAM BERLAUK, KHAS UTK ORANG -ORANG YANG BERDEKATAN KAWASAN PONTIAN ..HEHE ::


    Selasa, 14 Februari 2017

    MASAK LEMAK CILI API TELUR IKAN TENGGIRI


    Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua..
    Jeng Jeng Jeng... Siapa kat sini peminat telur ikan? hehe.. Kita geng la.. Goreng pun sodap ni.. Tapi masa ni tekak teringin makan masak lemak cili api. Sedap tau dapat pulak telur ikan gemuk-gemuk..kihkih


    Bahan-bahan :

    • Telur ikan tenggiri (cuci dengan air limau utk hilangkan bau hanyir, cuci bersih dan tos. Ketepikan.)
    • 5 ulas bawang merah *
    • 2 ulas bawang putih *
    • seinci kunyit *
    • segenggam cili padi (nak pedas tambah lagi)*
    • 1 kotak santan
    • 2 batang serai diketuk
    • 2 helai daun kunyit
    • 2 keping asam keping
    • Air secukupnya
    • Garam

    Cara-cara :

    1. Tumbuk bahan-bahan yang bertanda *..Kalau malas masuk je blender..hehe. Masukkan kedalam periuk, tambah santan dan air. Ikut kepekatan yang dimahukan.Biarkan sedikit mendidih.
    2. Masukkan pula telur ikan yang telah dicuci bersih. Masukkan juga serai yang telah diketuk dan asam keping. Biarkan mendidih dengan api yang sederhana perlahan.
    3. Agak menggelegak masukkan daun kunyit yang telah diracik / digunting. Tambah garam dan rasa. Biar seketika dan agak telur ikan dah masak boleh tutup api. Sedia untuk dihidang.


    Cuba la mana yang belum pernah cuba tu.. Sedap tau telur ikan ni..

    SELAMAT MENCUBA :)





    Isnin, 30 Januari 2017

    IKAN BILIS GORENG BERSAMA BELIMBING BULUH


    Assalamualaikum everybodyyyyy.. Ecehh.. hahah
    Saja je kan, lama tak jenguk blog sendiri.. Blog orang lain tak lupa, blog sendiri macam terlupa.. kahkah..kasihan.. kasihan.. :p

    Korang dah ada idea nak masak apa hari ni? Agak-agak tak ada idea, boleh cuba resepi ni, sap sap soii.. tadaaaa.. senang je. Hari tu pegi pasar tani jumpa belimbing buluh. Kalau belimbing buluh kita suka masak camni la. Kalau tak pun masukkan dalam masak lemak cili padi.. Sedap.. Pedas-pedas masam.




    • Segenggam ikan bilis dicuci bersih kemudian goreng hingga garing, bukan hangus..hehe. Angkat dan ketepikan.
    • Hiris bawang besar, bawang putih, lada merah dan hijau. Nak pedas guna cili padi.
    • Belimbing buluh dibelah dua, jangan lupa cuci belimbingnya.
    • Tumis bahan-bahan yang dah dihiris tadi, agak layu bawang2 tu masukkan belimbing buluh tadi. Kacau rata hingga belimbing bertukar warna agak kekuningan. Masukkan juga sedikit garam. Jangan banyak sebab ikan bilis goreng tu kan dah rasa masin.
    • Tutup api dan masukkan ikan bilis goreng tadi, gaul rata dan sedia untuk dihidang.

    Kalau memang tengah tak ada selera makan, lauk camni pun dah cukup bukak selera. Kalau kita memang suka lauk-lauk kering camni. hehe..

    Apa-apa pun selamat mencuba ye kenkawan.. :)





    Rabu, 18 Januari 2017

    SAMBAL TUMIS SOTONG KEMBANG


    Assalamualaikum & selamat sejahtera buat semua..
    Korang pernah makan sotong kembang?Sedap tau kalau buat sambal. Ni nak share la resepi buat Sambal Tumis Sotong Kembang ni.. Meh kita tengok resepinya..

    Bahan-bahan :

    • 2 ekor sotong kembang (kurang lebih 500 g)
    • 1/2 cawan air asam jawa
    • 2 cawan cili kisar
    • Garam, gula dan serbuk perasa (jika suka)
    • Minyak untuk menumis

    Bahan kisar halus :
    • 10 ulas bawang merah kecil
    • 2 ulas bawang putih
    • 1 cm halia
    • 1 inci belacan

    Cara-cara :

    1. Sotong dipotong kecil, cuci bersih dan toskan.
    2. Panaskan minyak didalam kuali. Masukkan bahan kisar. Tumis hingga naik bau,kemudian masukkan pula cili kisar.Tumis hingga cili garing dan pecah minyak.
    3. Masukkan pula air asam jawa, garam, sedikit gula dan serbuk perasa. Masukkan sotong dan gaul hingga mesra. 
    4. Biarkan masak dalam 10 minit hingga jadi pekat kuahnya. Tapi jangan biarkan sampai kering tak berkuah.
    5. Matikan api, dan sedia untuk dihidang. 


    Sedap dimakan bersama nasi putih atau nasi lemak.

    SELAMAT MENCUBA :)

     


    Selasa, 17 Januari 2017

    GULAI LEMAK PISANG MUDA


    Assalamualaikum semua..
    Seperti yang dijanjikan di entry yang lepas, hihii.. Kata nak kongsi resepi kan? Esok-esok kita tu dah jejak pertengahan bulan Januari dah.. Oleh kerana petang-petang camni dalam otak dok terbayang makanan je, godeh folder ternampak la gulai lemak pisang muda ni. Ishhh..bikin merembes kelenjar airliur.. Kikiki :p

    Jenis pisang ni kita bukan cam sangat, kalau pergi pasar tu cuma cakap je dengan akak pasar tu, 'kak..nak pisang sayur..'
    Nama nak bertanya nama pisang tu asyik la lupa. Hehe
    Sebelum nak siang pisang tu, sediakan dulu air garam.. Untuk mengelakkan pisang jadi lebam..Jom kita intai resepinya..

    Bahan-bahan :

    • Sesisir pisang sayur ( kupas kulitnya, masuk dalam air garam, isinya ditumbuk kasar.. asal pecah isinya..mak kita suka yang camni dari yang dihiris. Lagi lemak katanya..)
    • 7 biji bawang merah *
    • 3 biji bawang putih *
    • Segenggam kecil ikan bilis *
    • Seinci kunyit hidup *
    • Sesudu besar lada hitam *
    • Sehelai daun kunyit
    • Sekotak santan (kita guna santan Kara)
    • Garam secukupnya
    • Air secukupnya




    Cara-cara :

    1. Pisang dicuci bersih, siat kulitnya dan rendam didalam air garam. Isi pisang ditumbuk kasar. Air garam untuk mengelakkan pisang dari jadi lebam.
    2. Kisar bahan-bahan yang bertanda *
    3. Toskan pisang,masukkan kedalam periuk bersama bahan kisar. Masukkan santan dan air. Masak sehingga mendidih.
    4. Agak pisang sudah mulai lembut, masukkan daun kunyit. Perasakan dengan sedikit garam. Rasa dan biarkan ia mendidih lagi seketika. 
    5. Matikan api dan sedia untuk dihidang. Sesuai dimakan bersama nasi panas, ikan goreng dan tak lupa juga sambal belacan. Baru ngammmm !! Kihkih


    SELAMAT MENCUBA.. :)






    Isnin, 26 Disember 2016

    SINGGANG IKAN SENANGIN


    Assalamualaikum wbt..
    Kembali bersiaran.. Hehe.. kali ni nak share satu resepi orang dulu-dulu yang sampai sekarang tetap popular. Masak singgang. Tapi singgang yang ni ada kelainan sedikit. Ada orang panggil singgang, tapi ada juga orang panggil masak pindang. Tapi mak kita panggil singgang serani. Alaa.. dalam kategori singgang juga la kan. Ehee..

    Ni semua gara-gara tengok blog Kak Noor , dia punya gambar cantik betul la..Kita yang tengok pun sampai terkecur-kecur. haha.. Setiap sentuhan dari Kak Noor ni memang berseni. Dah la pandai masak, rajin bercucuk tanam, pandai menghias & dia sangat-sangat la peramah orangnya. Sikit pun dia tak sombong tau..

    Ok la, jom kita tengok bagaimana cara-caranya.

    RESEPI : SINGGANG IKAN SENANGIN
    OLEH : ZAIDA (NAILY'S KITCHEN)

    BAHAN-BAHAN :

    • Ikan senangin dalam 3-4 ekor saiz sederhana. Siang dan cuci bersih. Toskan.
    • Bawang merah 7 ulas *
    • Bawang putih 3 ulas *
    • Halia 2 inci *
    • Cili padi 15 biji *
    • 2 inci kunyit hidup *
    • 2 batang serai (dititik)
    • Rempah tumis (3 sekawan)
    • Air asam jawa
    • 2 biji tomato (dibelah 4)
    • Garam
    • Air
    • Sedikit minyak untuk menumis


    Cara-cara :

    1. Tumbuk bahan-bahan yang bertanda *
    2. Panaskan sedikit minyak didalam periuk, kemudian  tumis bahan-bahan yang ditumbuk tadi dan rempah tumis 3 sekawan. Biarkan sehingga agak kekuningan .
    3. Masukkan juga 2 batang serai yang telah dititik. Kemudian masukkan air asam jawa. Tambah air sedikit demi sedikit hingga mendapat kepekatan yang disukai.
    4. Masukkan ikan senangin yang telah dicuci bersih.Biarkan sehingga mendidih.
    5. Masukkan sedikit garam dan rasa.
    6. Agak ikan dah hampir masak, masukkan juga tomato yang telah dibelah empat.
    7. Biarkan seketika, tutup api dan sedia untuk dihidang.



    Pada yang tak tahu rupa bagaimana rupa ikan senangin, ni la rupanya. Isi yang lembut dan manis. Kalau digoreng camtu pun sedap. Makan dengan nasi panas renjis kicap. Uishhh.. Pejam mata sambil suap dalam mulut. Hahaha


    Bahan-bahan tumbuk. Alaa.. Kalau malas menumbuk masuk je dalam blender..Hihihii.


    Pada yang tak ada idea nak masak apa petang ni, boleh la mencuba resepi ni. Sedikit kelainan dari singgang biasa. Rasa masam, pedas secukup rasa.

    SELAMAT MENCUBA.. :)








    Isnin, 19 Disember 2016

    SHAMPOO & SHOWER CREAM DARI GOOD VIRTUES CO.


    Assalamualaikum semua.. :)

    Kadang-kadang ada harinya kita rasa MALAS sangat-sangat. Hehehe.. Payah kalau penyakit malas ni bila hinggap kat tubuh dan akal. Sebab tu la blog ni kadangkala kalau boleh berbunyi mesti blog ni bunyi Krikkk Krikkk Krikkkkkkk.. Kahkah.

    Ok.. Meh kita nak cerita, kita ada beli shampoo & mandian. Bau dia Subhanallah wangi betul. yang menariknya produk dari Good Virtues Co. ni mengandungi Habbatus Sauda atau dalam erti kata lain Black Seed Oil. Organik lagi... Tu yang tertarik terus beli. Lagipun packaging dia sangat-sangat la cantik. Harga pun berpatutan. Mandian tu kalau tak silap dalam Rm 12.++  700ml tau. Kat mana nak beli? Produk ni ada dijual di WATSONS. 

    Ok.. Tu je nak cerita :p 

    P/S : Cerita masak-masak nanti la ye esok-esok. Ada resepi pisang masak lemak, sambal sotong rendam.. Nak tengok gambar, boleh tengok kat Naily's Kitchen . jangan lupa Follow ek.. Hahahah :p

    Rabu, 14 Disember 2016

    KARI KAMBING 40 HARI & MEE BESEN ORI MELAKA


    Assalamualaikum..
    Terliur ke tidak tengok gambar di atas? Hahaha :D
    Pada peminat nasi beriani atau nasi arab memang pasti akan terliur la kan kan.. Tengok daging kambing dia kussssmangat memang banyak. Memang puas la makan. Siap lepas makan tersandar kekenyangan. Hihihii


    Ni la restorannya. Restoran kari kambing 40 hari. Tak dapat dipastikan kenapa nama kari kambing 40 hari tu. Adakah masak kambing berusia 40 hari? Adakah masak kambing selama 40 hari? Adakah kambing tu selepas disembelih disimpan selama 40 hari baru dimasak? Atau kedai dibuka selama 40 hari baru ada cuti? Haha.. Tu la antara jawapan persoalan diatas. Dah lama perasan kalau lalu highway kat Ayer Hitam. Kebetulan bulan lepas ada pergi Melaka, suami ajak makan kat sini. Uisshhhh kegembiraan melanda diri..Orang memang tak putus-putus. Dah macam pergi kenduri kahwin.

    Makan kat sini ada diberi pilihan samaada nak makan dalam dulang ataupun makan dalam pinggan. Kita pilih makan dalam pinggan. Portion dalam pinggan tu memang banyak. Tak terhabis la. Sepinggan tu boleh makan berdua. Kalau nak tambah nasi kosong je kena tambah dalam Rm2 je kalau tak silap. Sepinggan nasi arab bersama lauk kari kambing/ayam lebih kurang Rm12-13 .Lupa la. 1 jug air sirap dalam Rm5. Kalau ambil dulang Rm45 sedulang.


    Banyak kan lauknya.. Memang berbaloi-baloi. hehe.. Selesai makan bertolak la kami ke Melaka....


    Ni pulak makan malam di Mee Besen Ori kat Durian Daun, Melaka yang femes tu.. Yang kita makan tu namanya Talam Western. Harganya Rm 35. 


    Lupa nak ambik gambar menu. Gambar diambil dari blog Fiedan .


    Kita ambil air Ribena Soda Laici. Sedap sangat rasanya. Kembung air lepas tu. Haha. Mak dengan suami kita pilih makan mee besen. Suami ambil mee kuning, mak pulak ambil mee soya. Mee soya tu sedap tau.



    Gambar diambil dari En Google.. Ni la rupa mee soya tu. Rasa sup tu macam biasa je la, tak ada luar biasa pun.. Hehee.. Cuma harganya murah tapi portionnya banyak. Kalau nak pergi sini, pergi la awal-awal. Kata la nak makan malam kan, lepas maghrib je terus pergi la. Ni yang pergi lepas maghrib pon beratur kusssemangat panjang. Memang nasib sangat menyebelahi la. Dorang yang makan tu tak ambik masa lama. Jadi beratur ada la dalam 10-15 minit. Nasib disediakan kerusi masa beratur tu. Kalau bawa orang tua fikir la dua tiga kali. Kesian kot kalau dorang kena tunggu lama. Baik bawak makan tempat lain. Banyak kot tempat makan yang best kat Melaka ni.












    Rabu, 7 Disember 2016

    SUP AYAM KAMPUNG


    Assalamualaikum..
    Siapa suka makan sup? Tak kira la sup ayam ke, sup daging ke. sup tulang ke, sup ekor ke.. Sedappppp kan?? Hihii. Kita memang penggemar sup. Sup-sup yang kita sebut tadi tu semua kegemaran kita. 

    Sup ayam kampung ni masak dah lama dah, masa hujan lebat, perut krukk krakk berbunyi-bunyi. Kihkih.. Ayam kampung masak sup.. Urmmmm manis sangat kuah dia. Bahan pun tak susah mana.

    RESEPI : SUP AYAM KAMPUNG
    OLAHAN : NAILY'S KITCHEN

    BAHAN-BAHAN :

    • 1 ekor ayam kampung
    • 10 biji bawang merah*
    • 4 ulas bawang putih*
    • 2 inci halia *
    • 1 sudu besar ketumbar*
    • 1 sudu kecil jintan*
    • 3 biji kentang dibelah 4
    • Sup bunjut tulang (sebab dalam tu dah siap rempah tumis)hihi
    • Garam
    • Air
    • Daun sup (untuk hiasan)
    • Bawang goreng (untuk hiasan)
    CARA-CARA :

    1. Kisar bahan-bahan yang bertanda *.
    2. Masukkan bahan yang telah dikisar didalam periuk. Tambah 1 jug air. Agak-agak tenggelam ayam.Masukkan sekali sup bunjut tulang.
    3. Biarkan mendidih, kemudian masukkan pula ayam.
    4. Biarkan sehingga ayam empuk. Masak ayam kampung ni perlukan masa yang sedikit lama. Tak macam ayam daging, cepat hancur. Kalau air berkurangan boleh tambah lagi air. 
    5. Agak-agak ayam dah nak empuk tu masukkan sekali kentang yang telah dibelah 4. Masukkan sekali garam. Sesuaikan rasa.
    6. Bila kentang dah empuk, boleh tutup api.
    7. Masa menghidang boleh ditaburkan dengan daun sup dan bawang goreng.
    TIPS BAWANG GORENG :

    • Kalau tak ada bawang goreng yang dah siap, kita boleh juga buat bawang goreng tumis darat. 
    • Caranya tumis bawang merah dan bawang putih yan telah dimayang halus sehingga keperangan. Kemudian masukkan je dalam periuk sup yang telah siap dimasak. Tu la namanya tumis darat.

    Sup bunjut tulang yang memudahkan lagi proses masak. Ehee


     Hujan-hujan sedap makan sup. Tak hujan pun sedap juga kan..




    SELAMAT MENCUBA :)








    Selasa, 6 Disember 2016

    TOMYAM CAMPUR BERSAMA TELUR PUYUH


    Assalamualaikum semua.. ✌
    Tadaaa.. Semalam balik kerja tak tau nak masak apa. Nak masak ikan, masak ayam jemu dah.. Tapi tekak ni tekak melayu. Nak juga nasi.. Kihkih.. Kita buat je la tomyam sayur campur pula dengan telur puyuh rebus. Ni tomyam versi yang mudah. Main campak-campak je. Tunggu menggelegak.. Dah siappp.. hehe. Tomyam paste yang dalam tin tu kat rumah dah habis. Ni guna yang kiub je jenama Maggi. Pun sedap juga. Tapi tak sesedap guna tomyam paste dalam tin tu.. :p

    Untuk resepi  kali ni kita masak guna periuk sedang tau. Kalau nak masak sikit pandai-pandai la korang adjust sayur mayur dia nak banyak mana, kuah nak banyak ke sikit terpulang la. Kita yang buat dia, ye tak? Jangan pening-pening. Masak tomyam je pun.. Kahkah..


    Banyak perabah dalam ni. Perabah orang Johor kata tu maknanya bahan-bahan. Hihii. Sedap makan sayur ni.. Tomyam ni buat ratah je pun sedap.

    RESEPI  : TOMYAM CAMPUR BERSAMA TELUR PUYUH
    OLAHAN : NAILY'S KITCHEN

    BAHAN-BAHAN :

    • Telur puyuh (rebus dan kopek kulitnya)
    • Bawang holland (potong 6, jangan hiris nipis tau)
    • Bawang putih (hiris nipis)
    • Halia (hiris nipis)
    • Kiub tomyam (guna jenama Maggi, nak guna jenama lain pun boleh)
    • Kiub ayam (guna jenama Knorr)
    • Sos tiram
    • Bunga Kobis
    • Baby Corn (jagung kecik tu)
    • Cendawan
    • Batang saleri
    • Tomato
    • Daun ketumbar (hiris halus)
    • Sedikit minyak untuk menumis
    • Air
    • Garam
    • Gula
    ( Sayur tu tambah la apa lagi yang korang suka. Ni lebih kurang macam basic je. Nak banyak atau sikit terpulang.)


    CARA-CARA :

    1. Tuang sedikit minyak dalam periuk yang telah dipanaskan. Masukkan bawang holland, bawang putih dan halia yang telah dihiris. Kacau sehingga agak keperangan.
    2. Masukkan air, kiub ayam dan kiub tomyam. Biarkan hingga mendidih. Kiub tomyam tu kalau masuk lebih makin sedap. Masukkan sekali sos tiram anggaran dalam satu sudu besar.
    3. Masukkan sayur yang keras dulu, contohnya bunga kobis, baby corn, lobak ke. Yang lembut macam cendawan, tomato dan batang saleri tu masuk kemudian. Biarkan seketika.
    4. Rasa kalau kuah kurang masin, boleh ditambah garam. Sebab kiub tu dah sedia masin. Masukkan juga sedikit gula. Kalau nak rasa pedas boleh juga ditambah cili padi.
    5. Masukkan pula telur puyuh yang telah dikupas sambil masuk sebiji dua dalam mulut. Haha. Masukkan sekali sayur yang lembut pula. Biar mendidih hingga sayur agak lembut. 
    6. Tutup api dan tabur daun ketumbar yang telah dihiris halus. Sedia untuk dihidang.

    Nampak tak telur puyuh tu.. Sedap woihhh...Hihii. telur puyuh ni kan masak telur pindang pun sedap tau. Lagi sedap dari telur ayam. Tapi leceh nak masak telur pindang ni. Masak dia ambil tempoh yang lama. Ingat masa kawen dulu, rebus telur pindang ni makan masa sampai 3 hari. Selamat bukan kita yang merebusnya.. Mau rentung telur tu lupa nak tambah air. haha.



    Telur ooo telur.. Kenapa kau sedap sangat?? 

    SELAMAT MENCUBA & SELAMAT MEMASAK KENKAWAN ;)

    Jap-jap.. Sapa tengok cerita ni??




    THE LEGEND OF THE BLUE SEA 

    ❤ ❤ ❤ ❤
    Hahaha.. LEE MIN HO ok !! TERJEBAK LAGI...








    AYAM GORENG KUNYIT